
Penggunaan teknologi satelit dalam sistem pertahanan negara perlu diteroka, memandangkan banyak negara khususnya kuasa-kuasa besar dunia telah pun bergerak ke arah itu.
Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata pembangunan teknologi itu bagi sistem pertahanan negara termasuk aset persenjataan, perlu menggunakan kepakaran tempatan bagi memastikan ia selamat digunakan.
“Jika dilihat dalam perspektif analisis pertahanan dunia, berlaku peningkatan keupayaan persenjataan. Sejauh mana ia dilaksanakan (termasuk penggunaan senjata satelit), kita tidak arif, memandangkan semua pihak bercerita mengenai sejagat yang aman.
“Justeru, penting kita pastikan penggunakan (teknologi) satelit itu selamat termasuk maklumat yang disalurkan dan ciri keselamatan yang digunakan. Kita perlu tentukan dan pastikan teknologi itu kita sendiri (bangunkan), bukan dari negara asing,” katanya kepada ditemui pemberita selepas Hari Kesedaran Satelit di Kompleks Haigate ATM di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kuasa besar dunia khususnya China yang dikhuatiri memajukan teknologi persenjataan mereka dengan menggunakan satelit.
Dalam usaha bergerak ke arah itu, Shamsuddin berkata ATM akan memberi input kepada Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), untuk diberi perhatian dalam Dasar Angkasa Negara 20230 (DAN 2030).
“ATM akan menyokong usaha MYSA dalam memperkenalkan teknologi berasaskan satelit yang baharu dalam sistem pertahanan negara, malah kita yakin, agensi itu juga sudah bergerak ke arah itu.
“Kami sendiri mempunyai wakil dalam agensi itu dan akan memberi input ATM untuk diberi perhatian dan dibawa ke dalam DAN 2030,” katanya.
Sumber: BERNAMA