Posted on: 18/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerjasama media antara Indonesia dan Malaysia menerusi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) perlu dikembangkan lagi ke peringkat negara-negara ASEAN untuk kerjasama yang lebh strategik di rantau ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, “kerjasama itu akan meningkatkan persefahaman, kebebasan media dan kerjasama yang lebih kukuh antara negara-negara termasuk Thailand, Filipina, Singapura, Myanmar dan Vietnam.”

Fahmi berkata demikian ketika bertemu dengan ISWAMI di pejabatnya, di sini, semalam.

ISWAMI diketuai Presidennya Datuk Mokhtar Hussein serta rakan sejawatannya dari Indonesia Asro Kamal Rokan serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Roslan Ariffin. 

Dalam pertemuan dua jam itu, Asro menzahirkan perasaan kebersamaan media Indonesia dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Anwar itu sebahagian dengan Indonesia kerana rapatnya dia dengan kami. 

“Perjuangan Anwar di kaca mata media Indonesia dianggap sama seperti Nelson Mandela (Pemimpin yang menghadapi kepayahan dalam perjuangan sehingga dipenjara),” katanya.

Asro turut menyerahkan surat jemputan sambutan Hari PERS Nasional (HPN ) Indonesia, yang akan diadakan pada 9 Februari di Medan, Sumatera.

Mandela yang meninggal dunia pada usia 95 tahun,  2013, merupakan bekas Presiden Afrika Selatan yang mengetuai peralihan pentadbiran negara itu daripada minoriti kulit putih pada awal 90-an selepas 27 tahun dipenjara.

Sumber: BERNAMA