Posted on: 19/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan meminggirkan masyarakat minoriti di negara ini termasuk mereka di Sabah dan Sarawak. 

Sehubungan itu, Anwar telah meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mengetuai pasukan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang sebelum ini mengguris perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Kita harus juga sedar ada masyarkat minoriti di negara kita sama ada Cina dan India yang merasakan ada pendekatan untuk meminggirkan mereka atau merendahkan mereka.

“Saya ingin beri jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan dasar ini berlaku lebih-lebih lagi di Sabah dan Sarawak,” kata beliau ketika menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di sini hari.

Anwar berkata Fadillah telah diberi ruang sepenuhnya untuk menyelesaikan semua perkara tertunggak berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak terbela.

Beliau berkata perjanjian itu telah dimeterai oleh pemimpin terdahulu maka ia menjadi tanggungjawab kerajaan kini untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan. 

“Mana mungkin setelah 60 tahun, kita tak boleh beri dia hak untuk memutuskan dan melaksanakan projek RM10 juta dengan sendiri, maka sebab itu kita luluskan,” kata beliau dan menambah bahawa mesyuarat MA63 akan diadakan di Kuching, Sarawak esok dengan sebahagian besar perkara akan diselesaikan.

Sumber: BERNAMA