Posted on: 20/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Felcra Berhad merancang dan menyediakan pelan Transformasi 3.0 bagi membantu kerajaan dalam aspek keselamatan makanan dan mengurangkan import bahan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pelan transformasi berkenaan haruslah disediakan sesegera yang mungkin dan mengandungi tiga elemen utama meliputi tanggungjawab sosial, nilai komersial dan membantu menjayakan keterjaminan makanan. 

“Datanglah kepada saya untuk saya menjadi fasilitator bagi memperkasa program-program yang akan dirancang.

“Kita mempunyai sekurang-kurangnya empat tahun untuk  menterjemahkan pelaksanaan transformasi ini yang  kita fokus kepada kecukupan makanan dan aspek penghasilan makanan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Mat Roni Zakaria, yang antara lain turut menyentuh mengenai pelaksanaan Transformasi 1.0 dan Transformasi 2.0 Felcra, selain model bisnes dan isu utama agensi berkenaan. 

Ahmad Zahid berkata Felcra, sebagai badan ditubuhkan pada 1966 bagi membantu kira-kira 100,000 pesertanya ketika ini, mempunyai potensi besar dalam membantu kerajaan mengurangkan import bahan makanan dengan lebih 200,000 hektar tanah yang boleh dioptimumkan dalam pelbagai sektor. 

“Pada hemat saya, kerajaan harus dibantu supaya pengimportan bahan makanan yang jumlahnya terlalu besar harus diganti dengan pengeluaran makanan daripada Felcra dan lain-lain agensi. 

Telah tiba masanya pengurangan pengimportan ini dilakukan bagi mengurangkan pertukaran wang asing,” katanya. 

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Felcra juga haruslah lebih berani melaksanakan sendiri programnya tanpa bergantung kepada suntikan dana kerajaan, selain meletakkan keyakinan bahawa agensi berkenaan boleh melakukannya dalam masa terdekat.

Beliau berkata Felcra  juga perlu  mengambil iktibar daripada pengalaman sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia, namun akhirnya berdepan dengan masalah cukup besar.

“Banyak lagi yang boleh dilakukan Felcra, namun belajarlah daripada kesilapan oleh badan itu. Felcra harus telus dan beri keuntungan kepada peserta dan bantu koperasi supaya ketirisan tidak berlaku,” katanya.

Sumber: BERNAMA