Posted on: 20/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak sebagai sebuah badan berkanun yang bebas adalah langkah positif ke arah memelihara maruah kanak-kanak, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Pengerusi SUHAKAM, Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad, berkata ini selaras dengan prinsip Malaysia Madani seperti  yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya ini adalah satu langkah ke arah yang betul dengan kedudukan Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang bertanggungjawab memelihara keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

“SUHAKAM berharap suruhanjaya yang baru ditubuhkan dapat menangani isu berkaitan kanak-kanak termasuk aspek kemandirian, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak,” katanya, dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata bagi memastikan perlindungan sebagai kepentingan terbaik kanak-kanak, suruhanjaya mesti mempunyai bidang kuasa yang luas dan mandat yang jelas dengan peruntukan yang mencukupi serta sumber manusia untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Sumber: BERNAMA