Posted on: 25/01/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei, mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia dalam satu majlis makan malam di sini.

Pada majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei di sini, Anwar turut menyampaikan amanat beliau selain berdialog dengan mereka yang hadir.

Dalam amanat beliau kepada lebih 400 orang yang hadir, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang baharu November lepas, memberi penerangan mengenai perancangan beliau untuk Malaysia. 

Ini termasuklah konsep “Malaysia Madani” yang beliau perkenalkan pada 19 Januari lepas sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.  

Anwar berkata beliau juga tidak mahu kerajaan yang beliau pimpin hanya melaung-laungkan slogan tanpa sebarang penghayatan.

“Saya nak mulakan transisi baharu. Tak nak slogan sahaja. Kita mahukan penghayatan dan amalan. Juga kebenaran, keadilan dan perpaduan. Rakyat Malaysia dah sinis dan muak dengan slogan dan janji-janji sahaja,” katanya.

Katanya tumpuan masa kini adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan keutamaan di negeri-negeri dengan melihat kepada sektor ekonomi baharu.

Pada sesi dialog pula, Anwar turut menjelaskan bahawa secara amnya beliau akan meneruskan dasar-dasar baik yang dilaksanakan kerajaan terdahulu walaupun didukung oleh parti yang beliau tidak bersetuju, namun akan membuat kajian dalam hal melibatkan kontrak-kontrak besar.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan Brunei, Anwar berkata Malaysia boleh bekerjasama dengan negara itu dalam banyak bidang.

Hadir sama isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,  Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Anwar tiba di sini petang semalam.

Hari ini, Perdana Menteri dijadualkan menghadap Sultan Brunei  Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, selain meneroka kerjasama baharu dalam bidang yang melibatkan kepentingan bersama.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Sumber: BERNAMA