Posted on: 07/02/2023 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Malaysia menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye bagi membantu misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Wisma Putra dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali untuk mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan SAR ke Turkiye setelah gempa bumi menjejaskan 10 wilayah.

Beliau berkata Kementerian Luar bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kedutaan Malaysia di Turkiye serta Kedutaan Turkiye di Malaysia akan menyelaraskan operasi tersebut untuk memastikan gerak kerja di negara itu kelak berjalan lancar tanpa menimbulkan kesulitan.

“Saya berhubung dengan Menteri Luar Turkiye Mevlut Cavusoglu untuk mendapatkan gambaran di sana dan beliau menyuarakan perlu kesegeraan antaranya bantuan SAR dan akan disusuli dengan bantuan dalam bentuk perubatan dan misi kemanusiaan yang lain,” katanya kepada media semasa pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Turut hadir adalah Armizan, Ketua misi SAR Komander Mohd Khairul Jamil dan Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Zambry berkata seramai 12 rakyat Malaysia di wilayah terjejas iaitu Gaziantep, Şanliurfa dan Adana telah dihubungi Kedutaan Malaysia di Turkiye dan berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Mohd Khairul berkata pasukan SMART yang terdiri daripada 70 anggota termasuk pasukan perubatan dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) dan Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) berlepas malam tadi ke Istanbul menerusi penerbangan Turkish Alirlines.

Beliau berkata pasukan akan melapor diri sejurus tiba di kawasan yang terjejas dan akan digerakkan mengikut urus setia yang menetapkan kawasan untuk SAR.

Katanya pasukan SMART berpengalaman dalam operasi SAR dengan penglibatan dalam 12 SAR termasuk insiden gempa bumi melanda Izmit, Turkiye pada 1999 serta menerima pengiktirafan daripada Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan itu dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye Kahramanmaras pada awal pagi Isnin, dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Sumber: BERNAMA