
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melaksanakan Program Menu Rahmah bagi meringankan beban pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang menyambung pengajian di institusi itu.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA), KPT sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan program berkenaan.
“Kita berharap perkara yang baik (Program Menu Rahmah) dapat dilaksanakan di IPTS juga. Bila ia diperkenalkan (di IPTA), kementerian menyambut baik kerjasama KPDN dalam memperluaskan program tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail. Pada Sabtu lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub dilapor berkata Program Menu Rahmah di IPTA dijangka dilaksanakan selepas Aidilfitri dan untuk peringkat awal akan melibatkan 20 IPTA di sekitar Lembah Klang.
Sumber: BERNAMA