Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan akan terus mempertingkat program pembangunan keusahawanan bagi memupuk minda bersesuaian kepada mereka yang berminat menjadi usahawan, menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini. 

Pembangunan keusahawanan akan berteraskan kepada Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030).

Menurut dokumen itu, pendidikan dan latihan akan tertumpu kepada usaha membangunkan pelajar dengan set kemahiran usahawan dan kerjasama Triple Helix akan terus digalakkan bagi membolehkan usahawan memperoleh kemahiran dan kecekapan yang diperlukan. 

Selain itu, pelaksanaan program jangkauan akan dipergiat bagi melonjakkan keupayaan dan kemahiran usahawan dalam kalangan belia, Bumiputera dan kumpulan sasar khusus; kemudahan inkubator akan diwujudkan di kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang membangun bagi menyokong mereka yang berminat menjadi usahawan serta pembangunan intrapreneurship dalam organisasi akan diperluas untuk menyediakan peluang kepada pekerja untuk menjadi usahawan. 

“Usaha bagi melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan termasuk meningkatkan pembangunan keusahawanan dan menggalakkan usahawan yang dipacu oleh inovasi.

“Ini akan mempertingkat keupayaan dan kemampuan usahawan untuk bersaing dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” menurut dokumen itu. 

Kerajaan juga akan melaksanakan program sokongan untuk meningkatkan bilangan usahawan berinovatif termasuk belia, Bumiputera dan kumpulan sasar khusus dalam industri strategik dan berimpak tinggi seperti pertanian pintar, halal, aeroangkasa, bioteknologi, peranti perubatan dan ekonomi digital. 

“Usahawan akan digalakkan untuk terus berinovasi dalam operasi dan pengurusan perniagaan melalui penerimagunaan teknologi termaju dan digital. 

“Kerjasama antara usahawan dan penyelidik akan dipergiat untuk meningkatkan inovasi bagi mewujudkan lebih banyak produk dan perkhidmatan bernilai tinggi yang akan melonjakkan daya saing,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, kerajaan akan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh untuk menyokong pembangunan keusahawanan dengan mengambil kira kepelbagaian ciri-ciri usahawan, koperasi, persatuan berasaskan pertanian, perusahaan sosial serta perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).  

Kerajaan akan melaksanakan inisiatif untuk menambah baik tadbir urus, peraturan, peranan institusi dan pembiayaan bagi melonjakkan prestasi usahawan. 

“Inisiatif ini akan menyediakan sokongan yang komprehensif bagi mewujudkan persekitaran yang menyokong, meningkatkan potensi usahawan dan mempercepatkan pertumbuhan,” menurut dokumen itu.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah kit panduan mengenai tadbir urus korporat untuk PMKS akan dibangunkan; perundangan sedia ada berkaitan keusahawanan akan disemak semula dan peranan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) akan dimantapkan.

Usaha tiga serampang kerajaan dalam RMK-12 iaitu mewujudkan usahawan inovatif dan mampan; menggalakkan penyertaan inklusif melalui PMKS, koperasi dan persatuan berasaskan pertanian serta menambah baik ekosistem keusahawanan dijangka dapat meningkatkan sumbangan PMKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 45 peratus dan pendapatan koperasi kepada RM60 bilion pada 2025.

Pada masa sama, pendapatan persatuan berasaskan pertanian, iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dijangka meningkat kepada RM2.8 bilion manakala pendapatan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) kepada RM149 juta.

Sumber:BERNAMA