
Jumlah pelaburan sektor Perkhidmatan Global (GS) disasarkan mencecah RM89 bilion pada 2025, demikian menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini.
Menurut dokumen berkenaan, sektor GS merupakan sebahagian daripada industri strategik dan berimpak tinggi yang menjadi antara sasaran terpilih rancangan lima tahun berkenaan untuk dipercepatkan pembangunannya.
GS yang terdiri daripada Hab Prinsipal, Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan ibu pejabat operasi merupakan penyumbang utama pelaburan langsung asing (FDI) di bawah sektor perkhidmatan.
Berdasarkan dokumen itu, kebanyakan industri strategik dan berimpak tinggi telah mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) (2016-2020), namun 2020 merupakan tahun yang mencabar berikutan pandemik COVID-19 telah memberi impak besar kepada aktiviti ekonomi serta menjejaskan kebanyakan industri dan perniagaan.
“Pelaburan GS yang diluluskan daripada syarikat multinasional mencatatkan RM46.1 bilion, mewakili 51.7 peratus jumlah keseluruhan FDI bagi sektor perkhidmatan daripada 2016 sehinga 2020.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 309 usaha niaga GS baharu dengan jumlah pelaburan direalisasikan sebanyak RM17.6 bilion telah direkodkan,” menurut dokumen itu.
Pelaburan ini mewujudkan 21,711 pekerjaan dengan 4,411 daripadanya adalah pekerjaan berpendapatan tinggi dengan purata gaji bulanan kasar RM20,000.
Jumlah perbelanjaan perniagaan termasuk perbelanjaan modal daripada usaha niaga ini berjumlah RM46.3 bilion dan RM5.7 bilion lagi telah dibelanjakan untuk perkhidmatan sampingan domestik.
Sehingga kini, dokumen itu menyatakan, Malaysia menempatkan sebanyak 579 syarikat GBS berstatus MSC, manakala 349 lagi adalah pelbagai ibu pejabat pengoperasian dengan pengambilan pekerja berpengetahuan seramai 146,478 orang.
Di bawah perancangan RMK-12, GS diletakkan di bawah bidang keutamaan A RMK12 iaitu mempercepat pembangunan industri strategik dan berimpak tinggi.
Antara strategi yang disusun untuk tujuan ini ialah; meningkatkan daya saing perkhidmatan global; menyediakan dasar, perundangan dan persekitaran perniagaan yang jelas dan menyokong; meningkatkan bakat dan keupayaan penyedia perkhidmatan global; menambah baik infrastruktur digital; dan meningkatkan kesalinghubungan udara ke bandar-bandar utama.
“Ekosistem yang kondusif dan menyokong adalah penting bagi Malaysia untuk menjadi hab GS yang berdaya saing. Dasar yang jelas dan menyokong, kawal selia dan persekitaran perniagaan yang lebih baik, pembangunan bakat, infrastruktur digital dan kesalinghubungan udara ke bandar utama adalah diperlukan bagi mewujudkan persekitaran ini.
“Kejayaan menyediakan keperluan ini akan membolehkan Malaysia menarik lebih banyak syarikat GS dan memudah cara pertumbuhan perkhidmatan sokongan tempatan,” menurut dokumen itu.
Bagaimanapun, terdapat isu dan cabaran yang mengekang pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi terutamanya pembangunan industri yang kurang memberangsangkan.
“Bagi sektor GS, kebanyakan syarikat di seluruh dunia sedang beralih untuk memusatkan perkhidmatan strategik utama yang berada di beberapa unit dalam perniagaan masing-masing ke satu lokasi.
“Ini bagi berhadapan dengan perubahan yang pantas dalam model perniagaan dan kedinamikan proses membuat keputusan, walaupun trend ini membuka peluang kepada pewujudan lebih banyak syarikat GS untuk beroperasi, Malaysia menghadapi cabaran untuk meraih peluang ini berikutan kekurangan ekosistem yang menyokong,” katanya.
Antara cabaran yang dihadapi ialah dasar yang kurang jelas dan konsisten, peraturan yang tidak menyokong, bakat yang tidak mencukupi, pembangunan infrastruktur digital yang perlahan serta kurang ketersambungan udara ke bandar utama.
Sumber: BERNAMA