Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Harga tiket penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak merekodkan antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November 2021, berbanding harga tiket pada 2019.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat hari ini laporan itu adalah berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada 27 Oktober lepas.

Bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, beliau berkata Mavcom mendapati harga tiket yang lebih rendah antara 30 hingga 62 peratus direkodkan bagi tarikh penerbangan 4 hingga 10 November 2021, berbanding harga tiket pada 2019.

“Harga tiket penerbangan yang tinggi ini antara lain merupakan kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk membendung penularan wabak COVID-19.

“… kekerapan penerbangan ke Sarawak telah berkurangan sebanyak 86 peratus berbanding sebelum wabak COVID-19 manakala bagi ke Sabah pula kekerapan penerbangan telah berkurangan sebanyak 49 peratus berbanding sebelum wabak COVID-19,” katanya. Wee menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta kementerian menyatakan langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal jumlah penerbangan dan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak pada 25 Oktober lepas telah bersetuju membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan ke negeri itu daripada 89 penerbangan seminggu kepada 223 penerbangan seminggu, tanpa had kapasiti penumpang, berkuat kuasa semalam.

“Kebenaran ini dijangka akan membolehkan pihak syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan operasi penerbangan dan menawarkan harga tiket yang lebih rendah.

“Harga tiket penerbangan bagi laluan ke Sabah dan Sarawak dijangka kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Sumber: BERNAMA