Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Kumpulan terbesar rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India.
Selain itu, terdapat juga penduduk peribumi di Semenanjung Malaysia yang merupakan Orang Asli dan secara umumnya terbahagi kepada tiga kaum terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Negeri Sabah mempunyai kumpulan etnik yang mempunyai pelbagai dialek dan budaya terbesar iaitu sebanyak 32 kumpulan etnik dengan majoritinya ialah etnik Kadazandusun. Kumpulan lain termasuk Rungus, Bajau, Bajau Laut, Murut, Lundayeh, Orang Sungai dan Iranun manakala penduduk Sarawak terdiri daripada 27 kumpulan etnik dan etnik Iban adalah etnik majoriti selain Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu.