Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah. Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah kerajaan Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dengan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel. Sejarah Bendera Malaysia

Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan pada Mei 1948 tersebut, seramai 373 karyawan telah mengambil bahagian dan telah melalui proses pemilihan serta pertimbangan. Pada 15 November 1949 hanya tiga reka bentuk yang berjaya dipilih ke peringkat akhir dan ciptaan Encik Mohamed bin Hamzah (arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Johor) telah dipilih sebagai pemenang.

Walau bagaimanapun, reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan iaitu bulan sabit dan bintang yang pada asalnya berwarna putih digantikan dengan warna kuning bagi melambangkan warna Diraja dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King George VI pada 26 Mei 1950. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya lagu Negaraku yang buat kali pertama diperdengarkan kepada umum.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang sebelum ini berjumlah 11 jalur melintang berwarna merah dan putih telah bertambah jalurnya kepada 14 jalur sebaik sahaja kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Bendera ini dikenali sebagai bendera Malaysia. Penambahan jalur ini adalah bagi mewakili tiga negeri tersebut. Walaupun Singapura dikeluarkan dari Malaysia pada Ogos 1965, jumlah jalur pada bendera Malaysia masih kekal termasuk ciri-ciri yang ada padanya.

Setelah berkibar megah sejak tahun 1950, pada malam 31 Ogos 1997 sempena sambutan 40 tahun kemerdekaan negara, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu telah mengukir sejarah dengan mengumumkan nama baharu bagi bendera Malaysia iaitu sebagai Jalur Gemilang.
Susunan Keutamaan Bendera Susunan keutamaan bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan, Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri. Selaras dengan perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI pada 31 Januari 2019, maka susunan keutamaan bendera yang diperuntukkan di bawah Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 bagi bendera Malaysia dan negeri-negeri adalah berubah seperti berikut:

Keutamaan Mengikut Negeri:
1. Malaysia
2. Terengganu
3. Perlis
4. Selangor
5. Negeri Sembilan
6. Johor
7. Kelantan
8. Perak
9. Kedah
10. Pahang
11. Pulau Pinang
12. Melaka
13. Sabah
14. Sarawak
15. Wilayah Persekutuan

Susunan keutamaan bendera ini berkuatkuasa mulai 31 Januari 2019.
Sumber: http://www.istiadat.gov.my/index.php/component/content/article/11-info/36-protokol-persekutuan