Latar Belakang Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP)
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) diwujudkan pada tahun 1979 yang mana antara fungsinya ketika itu adalah sebagai penyelaras perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang. Penubuhan Kementerian ini adalah sejajar dengan penubuhan Majlis Perancangan Wilayah Lembah Klang dan Jawatankuasa Kerja Perancangan Wilayah Lembah Klang.
Pada 1981, KWP dijadikan sebagai satu Bahagian (Unit Perancangan Lembah Klang) di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri. Penyusunan semula Kabinet pada 27 Mac 2004 telah menyaksikan KWP ditubuhkan semula untuk memberi tumpuan khusus terhadap pemajuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Lima tahun kemudiannya iaitu pada 23 Oktober 2009, menerusi pembentangan Bajet 2010, YAB Perdana Menteri mengumumkan perluasan peranan Kementerian dalam pembasmian kemiskinan bandar seluruh negara serta pelaksanaan program kesejahteraan bandar dan ini melibatkan pertukaran nama kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB). Penstrukturan Kabinet pada tahun 2013 pula menyaksikan fungsi asal Kementerian ini dikembalikan manakala fungsi kesejahteraan bandar telah diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Maklumat lanjut : http://www.kwp.gov.my