Posted on: 22/01/2020 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

SERDANG, 21 Jan — Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari mengingatkan, sewaktu kita meraikan perayaan Tahun Baru Cina hujung minggu ini, golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan, tidak seharusnya dilupakan.

Ini kerana katanya, dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan, ia bukan sahaja dapat membantu mereka, tetapi akan menceriakan dan memeriahkan lagi sambutan perayaan pada kali ini.

“Sebagai satu masyarakat majmuk, apabila musim perayaan, semua pihak perlu sejauh yang boleh, cuba membantu golongan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita pada program tanggungjawab sosial korporat MYNIC Bhd iaitu #MYNICCARES di Pusat Jagaan Orang Tua Wan Hing di sini hari ini.

Pada program itu, Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong menyampaikan sumbangan MYNIC berupa kelengkapan elektrik dan katil bernilai RM10,000 serta barangan keperluan dapur, kepada pusat jagaan orang tua berkenaan yang menempatkan 30 penghuni.

Pada program itu juga pasukan #MYNICCARES secara bergotong-royong, menceriakan pusat tersebut dengan mengecat dan mengemas kawasan persekitaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata MYNIC akan melaksanakan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat menerusi #MYNICCARES, sepanjang tahun 2020.

“MYNIC berharap program sedemikian akan memberi impak positif kepada rakyat dan negara, selain membantu merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

MYNIC merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan pentadbir tunggal bagi alamat web yang berakhir dengan ‘.my’ di Malaysia.

– BERNAMA