Posted on: 13/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah percaya kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi serta
tumpuan mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.

Seri Paduka bertitah negara kini berada di landasan yang kukuh dalam menangani pandemik COVID-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.

Bagaimanapun, menurut Al-Sultan Abdullah kerajaan yang baharu dibentuk ini hendaklah segera melipat ganda usaha memerangi COVID-19 dan membawa negara serta rakyat keluar daripada ancaman pandemik itu.

Justeru, Seri Paduka menyeru semua agensi kerajaan serta wakil rakyat bertindak proaktif turun padang untuk meninjau dan menyelami isu-isu rakyat dari dekat serta memantau pencapaian program-program yang diumumkan.

“Program jaringan keselamatan sosial seperti inisiatif Wilayah Cakna, Wilayah Bebas Berniaga dan usahawan anak muda kota yang berupaya untuk meringankan bebanan warga kota hendaklah terus diberi tumpuan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Sumber: BERNAMA