Posted on: 14/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peserta Pertandingan Pidato Rukun Negara (PPRN) Peringkat Kebangsaan, Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka perlu menepati waktu yang diperuntukkan bagi setiap kategori ketika persembahan peringkat akhir, Khamis ini.

Setiausaha Sekretariatnya PPj Bersekutu (PA) Datuk Prof Dr Baharudin Puteh berkata justeru peserta perlu bijak membahagikan masa untuk menghuraikan isi kandungan pidato mereka kerana ia merupakan faktor terpenting dalam pertandingan peringkat akhir itu.

“Pada peringkat akhir nanti, terdapat empat juri profesional daripada latar belakang yang berbeza yang akan mengadili pertandingan, justeru mereka akan menekankan faktor masa selari dengan penyampaian pemidato yang boleh memberikan kaedah penyampaian yang jelas dan menarik,” katanya kepada Bernama di sini.

Baharudin berkata peserta bagi kategori Sekolah Rendah dan Menengah akan diberikan masa lima minit manakala kategori Institut Pengajian Tinggi, Bukan Melayu dan Awam pula diperuntukkan tujuh minit.

Bagi pembahagian markah pula, beliau menjelaskan ketepatan tema diperuntukkan 30 markah, isi kandungan (30 markah), penyampaian (20 markah) dan personaliti (20 markah).

Dalam pada itu, Baharudin, yang juga Profesor di Fakulti Bahasa dan Pendidikan, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) turut mengingatkan peserta agar tidak menyalahgunakan Jalur Gemilang dalam busana yang dikenakan mereka pada pertandingan akhir nanti.

Beliau berkata ini kerana bendera Malaysia merupakan maruah negara dan tidak seharusnya disalah guna walaupun dengan niat untuk menzahirkan semangat patriotisme kepada negara.

“Kita kena meningkatkan nilai bendera kita sendiri kerana ia melambangkan negara kira. Di mana letaknya maruah sesebuah negara tersebut jika ia dijadikan pakaian yang bukan-bukan,” katanya.

Ketika ini, terdapat dua akta yang digunakan bagi menjaga kehormatan Jalur Gemilang iaitu Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar)(Pindaan 2017) (Akta A1525).

PPRN bertemakan ‘Rukun Negara Sebagai Prinsip Perpaduan Demi Kejayaan dan Kestabilan Rakyat’ itu merupakan anjuran Pejabat Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Melaka serta Kementerian Perpaduan Negara.

Pertandingan tersebut menawarkan wang tunai RM300 hingga RM5,000, serta pelbagai hadiah menarik termasuk piala pusingan, piala iringan, koleksi buku dan sijil penyertaan.

Lima kategori dipertandingkan iaitu Awam, Institusi Pengajian Tinggi, Sekolah Menengah, Sekolah Rendah dan Bukan Melayu membabitkan penyertaan seramai 970 peserta dari seluruh negara.

Sesi saringan penyertaan dalam bentuk video itu berlangsung pada 9 hingga 13 Ogos diikuti peringkat separuh akhir pada 16 hingga 17 Ogos lepas dan pertandingan akhir dijangka diadakan pada 16 Sept ini secara bersemuka.

Sumber: BERNAMA