Posted on: 14/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sambutan Hari Malaysia 2021 akan dimeriahkan menerusi platform digital dan media sosial bagi membolehkan semua rakyat negara ini dapat bersama-sama meraikan hari bersejarah pembentukan negara pada 16 Sept meskipun dalam suasana pandemik COVID-19.

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Nadzerah Abdullah berkata sambutan Hari Malaysia pada tahun ini agak unik kerana  akan berlangsung secara hibrid menggabungkan elemen digital dan fizikal dengan kehadiran tetamu pada skala kecil sesuai dengan norma baharu untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata orang ramai masih boleh mengikuti siaran langsung sambutan itu menerusi stesen televisyen khususnya saluran RTM TV1, selain turut disiarkan menerusi portal Merdeka 360, laman Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta saluran YouTube rasmi kerajaan Sabah.

“Ini bermaksud  pandemik COVID-19  bukan penghalang untuk kita menzahirkan  semangat cintakan negara dalam sambutan Hari Malaysia 2021,” katanya yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Publiti, Seranta dan Siaran Langsung Sambutan Hari Malaysia 2021.

Nadzerah berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas meninjau persiapan bilik media bagi sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Sabah sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia 2021 yang akan berlangsung di SICC dengan bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ bermula 8.35 malam, Khamis ini.

Sementara itu,  Nadzerah berkata  pihaknya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan  program tersebut dan  raptai penuh akan diadakan  malam esok bagi memastikan semuanya berjalan lancar pada hari sambutan.

Semua petugas juga telah membuat ujian calitan COVID-19 sebagai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan bagi memastikan mereka bebas daripada wabak itu, katanya.

Nadzerah turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia 2021 dengan semangat cintakan negara dan hidup harmoni bersama ‘Keluarga Malaysia’.

Sumber: BERNAMA