Posted on: 15/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pembentangan dan perbincangan pelbagai amalan terbaik antarabangsa pada Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa 2021 (IPEF 2021) akan dimanfaatkan bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pekerjaan di Malaysia dalam mendepani impak COVID-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata input daripada IPEF 2021 akan juga dijadikan panduan dalam penyediaan cadangan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk Belanjawan 2022.

IPEF 2021 selama empat hari bermula 6 Sept lalu itu dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk membantu menghidupkan semula sektor buruh negara melalui perkongsian maklumat dan amalan terbaik untuk membina semula kehidupan selepas wabak Covid-19.

Forum antarabangsa secara maya itu melibatkan tiga rangkaian program iaitu Simposium DIGIMOS Program Kembali Semula Ke Alam Pekerjaan (RTW) Perkeso 2021, Simposium Perkhidmatan Pekerjaan Awam Antarabangsa dan Ekspo Kerjaya MYFutureJobs.

Saravanan dalam satu kenyataan hari ini berkata simposium RTW itu mengetengahkan sesi diskusi  barisan pakar dalam dan luar negara mengenai pengurusan hilang upaya dan pembangunan tenaga kerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dalam mendepani cabaran COVID-19.

Beliau berkata Simposium Perkhidmatan Pekerjaan Awam Antarabangsa, yang merekodkan  134,400 penyertaan,  membincangkan pendekatan terbaik untuk membina semula kerjaya dan ekonomi pasca pandemik.

Saravanan berkata sebanyak 14,888 pendaftaran dengan lebih 25,918 resume daripada pencari kerja telah diterima semasa  penganjuran Ekspo Kerjaya MYFutureJobs sempena IPEF 2021 itu.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 119 calon berjaya mendapat tawaran pekerjaan secara terus dan 3,101 calon telah ditemu duga manakala 2,137 calon telah berjaya dipanggil ke temu duga peringkat kedua.

Sebanyak 126 syarikat terkemuka termasuk syarikat multinasional mengambil bahagian dalam ekspo kerjaya itu seperti ExxonMobil Malaysia, Top Glove Corporation Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd dan CIMB Bank Bhd, katanya.

Sumber: BERNAMA