Posted on: 17/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0
Sumber: Youtube Berita RTM

Kerajaan terus komited menyokong sektor perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, dengan menyalurkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 mulai Selasa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali mulai 21 Sept, 2021 berjumlah RM500 dan November 2021 sebanyak RM500. 

Katanya inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih 1 juta PKS mikro untuk meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.  Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 Sept, 2021 melalui portal GKP di laman sesawang https://gkp.hasil.gov.my

Beliau berkata secara keseluruhannya, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion. 

“Saya berharap bantuan ini dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia,” katanya. 

Sumber:BERNAMA