Posted on: 17/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) terbit daripada dasar inklusif kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat mentadbir negara secara inklusif serta berasaskan semangat Keluarga Malaysia dan melalui dasar itu, tiada sesiapa yang tertinggal termasuk pembangkang.

Katanya bertitik tolak daripada itu, maka lahirlah sebuah tawaran kepada PH untuk bekerjasama dan kerajaan gembira apabila tawaran itu diterima.

“Kalau orang faham, di situ tiada isu siapa nak tuntut apa, ia daripada tekad politik kerajaan yang memilih untuk ambil pendekatan inklusif dan menjadi dasar kepada kerajaan untuk benar-benar melaksanakan konsep Malaysia sebagai sebuah keluarga.

“MoU ini kalau ada sesiapa nak tuntut apa-apa, silakan kerana MoU ini milik semua, yang penting bagi saya ialah melaksanakan apa yang ada dalam MoU itu, kalau tuntut sana sini tetapi tiada obligasi moral nak laksanakan maka MoU tidak membawa apa-apa makna,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, Annuar melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini  serta mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan KKMM bagi Sabah yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohammad Mentek.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan warga media sosial bahawa  tiga Ahli Parlimen DAP  iaitu  Anthony Loke (Seremban), Tony Pua (Damansara) dan Dr Ong Kian Ming (Bangi) merupakan individu penting yang menjadikan MoU itu suatu kenyataan.

Annuar berkata MoU itu hanya satu daripada pelbagai inisiatif yang bersifat inklusif dan pendekatan di luar kotak yang akan dilaksanakan kerajaan serta bersifat transformatif antaranya memberi peluang kepada mereka yang terpinggir atau ‘orang kecil’ untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

“Kerjasama dengan pembangkang ini hanya satu, bukan satu-satunya, ini baharu permulaan, kita harap boleh  bentuk kerjasama dengan Warisan (Parti Warisan Sabah), Parti Muda dan parti-parti lain tetapi tidak eksklusif kepada MoU sahaja,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting ketika ini ialah kesediaan kerajaan untuk berubah, justeru semua pihak termasuk pembangkang juga perlu berbuat demikian dan tidak mengamalkan politik sempit serta perkauman yang merugikan rakyat pada akhirnya.

Sumber: BERNAMA