Posted on: 17/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan memperuntukkan RM4.66 bilion bagi Sabah, dan RM4.47 bilion untuk Sarawak melalui peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata peruntukan pembangunan itu bakal disalur di bawah Rolling Plan Pertama 2021, RMK12, yang akan dibentangkan di Parlimen 27 Sept ini, dan merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain.

“Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama,” katanya semasa berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di sini malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin;  Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa;  dan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Sumber: BERNAMA