Posted on: 18/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dokumen pentafsiran falsafah “Keluarga Malaysia” akan dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Penerangan dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. 

Beliau menerusi penampilan pertama bagi program “Bersama Annuar”  di Twitter Spaces kendalian Bernama malam ini berkata dokumentasi ini bertujuan menghuraikan kefahaman atau falsafah Keluarga Malaysia agar dapat difahami dan dihayati seluruh lapisan masyarakat. 

“Secara umumnya, falsafah Keluarga Malaysia ini merupakan satu pendekatan yang dibawa Perdana Menteri agar wujud sentimen kekitaan, perasaan patriotik serta kecaknaan satu sama lain.

“Bukan saja (antara) kerajaan dan rakyat tetapi juga (antara) rakyat dan rakyat supaya dapat kita budayakan dalam negara kita untuk negara menjadi lebih harmoni dan lebih baik,” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Jabatan Perdana Menteri telah merangka garis panduan jelas mengenai falsafah Keluarga Malaysia pada minggu lepas.

Membincangkan topik “Keluarga Malaysia… Mencari Persamaan?”, Annuar berkata nilai-nilai falsafah ini adalah tidak asing dengan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tonggak negara, antaranya aspek menghormati keluhuran perlembagaan serta kesopanan dan kesusilaan.

Beliau berkata falsafah ini adalah pendekatan kerajaan untuk membentuk negara yang bersatu-padu dan rakyat juga mempunyai tanggungjawab bersama dalam memastikan keharmonian dalam masyarakat majmuk Malaysia. 

“Rakyat perlu ada penghayatan (falsafah Keluarga Malaysia) di setiap peringkat sepanjang masa dan ini akan menjurus kepada (pembentukan) nilai nasional. “…ini memerlukan komitmen semua pihak menerima (falsafah ini) dalam bentuk positif dan menterjemahnya dalam ruang lingkup kehidupan masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai aspirasi beliau dalam memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Annuar menyatakan komitmen beliau untuk memberikan perhatian dan keutamaan kepada golongan ini dalam konteks Keluarga Malaysia yang mendukung prinsip ‘no one should be left behind’ (tiada siapa yang akan ketinggalan).

Menerusi program yang bersiaran selama satu jam mulai 9 malam tadi, Annuar dapat berinteraksi dengan “followers” atau pengikut Twitter @bernamadotcom yang kini mempunyai lebih 950,000 pengikut.

Program kendalian hos Bernama TV, Wan Syahrina Wan Ab Rahman serta peneraju Bernama Radio, Hanie Hamid ini akan bersiaran di Twitter Spaces setiap minggu sebanyak 12 episod hingga Disember. Topik yang akan dirungkai pada minggu hadapan adalah “Survival Anak Seni”.

Spaces adalah ciri baharu diperkenalkan Twitter untuk pengguna akaun mengadakan perbualan dan perbincangan audio secara langsung bersama pengikut mereka di laman sosial berkenaan.

Sumber:BERNAMA