Posted on: 21/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kejayaan pelajar politeknik melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam bergantung sepenuhnya kepada markah merit, bilangan tempat dan kelayakan calon, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata selain itu turut diambil kira adalah kecemerlangan dalam proses temu duga yang dilaksanakan di universiti awam bagi sesetengah program pengajian yang memerlukan kompetensi.

“Pada sesi akademik 2021/2022, Kementerian Pengajian Tinggi menerima 7,652 calon lepasan Politeknik yang memohon dan layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam dan daripada jumlah itu 5,103 (67 peratus) ditawarkan tempat pengajian.

“Bilangan ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima peratus berbanding 4,445 (62 peratus) dari 7,175 calon yang memohon pada sesi akademik 2020/2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai peluang pendidikan tinggi yang disediakan terutamanya ke universiti awam bagi lepasan diploma daripada politeknik tempatan kerana didapati ramai yang memperoleh keputusan cemerlang dari politeknik tidak mendapat tempat di menara gading tahun ini.

Noraini berkata analisis kementerian itu mendapati kemungkinan calon tidak ditawarkan tempat di universiti awam atas beberapa faktor, antaranya persaingan sengit antara penuntut diploma, asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau calon tidak berjaya semasa sesi temu duga yang dilaksanakan.

Pemilihan program yang sangat kompetitif dengan permintaan yang tinggi juga akan mengehadkan peluang calon untuk mendapat tempat di universiti awam, katanya.

Beliau berkata secara umumnya pelajar politeknik disediakan untuk memenuhi keperluan industri, namun kementerian menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dan antara inisiatif kementerian adalah dengan menjalankan kerjasama artikulasi program Diploma Politeknik ke Program Ijazah Sarjana Muda Malaysian Technical University Network (MTUN).

Noraini berkata dalam mengembangkan pendidikan politeknik, kolaborasi merentas Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak industri diperkukuhkan menerusi Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara.

“Bagi memastikan kokurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, Majlis Penasihat Industri ditubuhkan bagi memberi input dan berkongsi maklumat terkini tentang keperluan di industri,” katanya.

Sumber: BERNAMA