Posted on: 22/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa akan memberikan fokus kepada industri seni dan kreatif pada sesi Twitter Spaces keduanya bersama warga maya, Jumaat ini (24 September).

Bersiaran buat pertama kali pada 17 September lepas, sesi perbincangan ‘Bersama Annuar’ kali ini akan merungkai topik ‘Industri Seni-Memulihkan Yang Terkesan’ menerusi platform @bernamadotcom bermula pukul 9 malam.

Program yang mendapat sambutan menggalakkan itu menyaksikan Annuar berinteraksi dan menjawab soalan daripada warga maya secara langsung. 

‘Bersama Annuar’ diadakan pada setiap Jumaat, bermula pukul 9 malam  untuk menyampaikan maklumat secara lebih efisien melalui pendekatan komunikasi langsung dengan rakyat.

Dikendalikan secara bersama-sama oleh hos Bernama TV Wan Syahrina Wan Ab. Rahman dan peneraju Bernama Radio Hanie Hamid, program ‘Bersama Annuar’ di Twitter Spaces akan bersiaran setiap minggu sebanyak 12 episod sehingga Disember depan.

Spaces adalah ciri baharu yang diperkenalkan Twitter untuk pengguna akaun mengadakan perbualan dan perbincangan audio secara langsung bersama followers atau pengikut mereka di laman sosial berkenaan.

Sumber: BERNAMA