Posted on: 23/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pelajar sekolah harian akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja secara berjadual dan bergiliran mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata jadual vaksinasi yang dipersetujui pejabat kesihatan daerah (PKD) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing untuk edaran kepada pelajar dan ibu bapa.

Bagi remaja di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuk murid orang kurang upaya (OKU) diberi janji temu melalui MySejahtera, manakala remaja tidak bersekolah dibenarkan terus ke PPV yang menjalankan PICK Remaja tanpa janji temu.

“Remaja OKU di sekolah harian dengan ketidakupayaan masalah pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran akan diberi janji temu mengikut penggiliran sekolah di PPV.

“Remaja OKU bersekolah dengan ketidakupayaan masalah tingkah laku (ADHD, autism dan mental) akan diberi vaksinasi secara janji temu di hospital atau klinik kesihatan,” katanya dalam sidang media PICK Remaja bersama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon di Kementerian Kesihatan, semalam.

Sumber: BERNAMA