Posted on: 23/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sejumlah RM21 juta diperuntukkan tahun ini bagi membangunkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata pusat itu antara lain bertujuan  membantu wanita yang berdepan dengan masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan selain berperanan sebagai pusat rujukan untuk mendapatkan kaunseling dan perlindungan sementara sebelum dirujuk kepada pihak berkaitan.

“Ia  melibatkan tiga  PSSS berpremis, tujuh PSSS secara mobile dan ia akan membantu kumpulan sasar wanita yang cenderung menjadi mangsa keganasan berasaskan gender, keganasan rumah tangga, penceraian, penipuan, penderaan dan yang berhadapan isu kebajikan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai usaha kementerian bagi mendidik masyarakat berkenaan isu rumah tangga dan perancangan pemerkasaan golongan wanita bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa, serta advokasi yang dilaksanakan kementerian.

Rina berkata berdasarkan data rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,015 kes keganasan rumah tangga dilapor bermula Mac tahun lalu sehingga bulan lepas.

Sumber: BERNAMA