Posted on: 23/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Syarikat  penyedia  capaian internet  melalui  teknologi  satelit  tempatan, Serba  Dinamik  Group  Bhd (Serba Dinamik)  telah  membuat  pemasangan  ‘Proof of Concept’ (POC) (proses rintis) bagi capaian  satelit  internet  Very Small Aperture Terminal (VSAT)  di Kampung Betutai, Tuaran, Sabah.

Serba Dinamik dalam satu kenyataan hari ini berkata teknologi itu membolehkan masyarakat yang tidak mendapat liputan jalur lebar dapat mengakses maklumat dengan lebih cepat dan mudah.

Projek itu adalah kerjasama strategik antara Serba Dinamik dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), katanya.

“Menerusi kemudahan seperti ini di beberapa kawasan tumpuan komuniti seperti di Surau Hidayyah, Kampung Betutai, Tuaran, masyarakat dapat menikmati data internet melalui kemudahan WiFi secara percuma dalam tempoh percubaan sekurang-kurangnya dua bulan.

“Fasa ujian teknikal turut disokong oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri dan syarikat tempatan Bumi Bakti Gemilang Sdn Bhd dalam memberikan latihan dan program kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai teknologi angkasa dalam urusan komunikasi,” katanya.

Menurut Serba Dinamik, pemasangan perkakasan VSAT Satelit yang ringkas dan fleksibel itu secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan dalam industri satelit tanah air.

Ia adalah selaras dengan hasrat KSTI, kerajaan negeri Sabah, Serba Dinamik dan Bumi Bakti Gemilang dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan transformasi digital untuk rakyat Sabah, katanya.

Syarikat itu berkata selepas pengujian itu selesai dilaksanakan, pihak kedua-dua syarikat bakal mengumumkan pelan data WiFi yang berpatutan bagi masyarakat tempatan dengan pengenalan produk VSAT Internet SurFiBah!.

“Pihak syarikat akan menyediakan pelan mudah bagi agen jualan kupon data internet secara berperingkat dan akan bekerjasama dengan agensi tempatan seperti  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan UPPM bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk mendapat capaian Satelit Internet bagi fasa selanjutnya,” katanya.

Sumber: BERNAMA