Posted on: 23/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 1,200 remaja berusia 12 hingga 17 tahun terdiri daripada anak-anak anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) serta warga Kementerian Pertahanan (Mindef) di Sarawak menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada hari ini dan esok.

Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia Kol Dr Meor Adzhary Sagiruddin berkata lima pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka di seluruh Sarawak bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Katanya, dua PPV pandu lalu turut dibuka di Kuching serta Sibu manakala PPV statik dibuka di Sri Aman, Bintulu dan Miri.

“Pemberian vaksin ini dibuat serentak hari ini kecuali di Miri yang akan mula esok dan kita menjangkakan semua boleh selesai esok.

“Sekiranya ada isu berbangkit seperti remaja tersebut belum cukup umur atau tidak dapat hadir kita akan atur semula janji temu dengan mereka,” katanya pada sidang media di Kem Penrissen di sini hari ini.

Beliau berkata pemberian dos kedua suntikan vaksin Pfizer-BioNtech itu akan diadakan pada 14 Oktober depan.

Sumber: BERNAMA