Posted on: 23/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pindaan definisi pribumi Sarawak dalam Perlembagaan Malaysia wajar diperhalusi dan dikemas kini supaya kumpulan etnik di negeri ini selain Melayu, Cina dan India tidak lagi diletakkan dalam kategori kaum “lain-lain”.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pindaan definisi yang dicadangkan bertujuan untuk mencerminkan secara jelas kepelbagaian kaum yang ada di negara ini khususnya di Sarawak. 

“Signifikannya (pindaan definisi pribumi) sedikit sebanyak merupakan satu pengiktirafan kepada kaum-kaum yang ada di Sarawak kerana sehingga kini mereka dianggap sebagai (kategori) lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Seni Perdana anjuran Majlis Seni Sarawak di sini hari ini.

Menurutnya tiada mana-mana kaum di negara ini yang suka dianggap sebagai “lain-lain” seperti mana yang lazim didapati pada borang rasmi yang hanya meletakkan kategori kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain.

“Dengan menyebut atau menyatakan kaum-kaum (yang diletakkan di bawah kategori “lain-lain” ini)  akan membuat mereka rasa dihormati,” katanya.

Menurut Abdul Karim Perlembagaan Malaysia perlu dibuat pindaan, dan beliau berharap menteri diberi tanggungjawab untuk melihat hal-hal berkaitan perlembagaan di peringkat kerajaan persekutuan akan mengkaji dan perhalusi pindaan berkenaan terutama yang berkaitan hak-hak Sarawak.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali semalam berkata kerajaan negeri itu mencadangkan perubahan kepada definisi pribumi dalam Perlembagaan Malaysia untuk mengambarkan pelbagai kaum di Sarawak.

Sementara itu semasa mengambil bahagian sebagai panel dalam dialog hari ini, Abdul Karim berkata masyarakat yang tidak memberi penekanan kepada kesenian dan kebudayaan akan menjadi masyarakat yang ketinggalan zaman.

Beliau mahu supaya Majlis Seni Sarawak melaksanakan penstrukturan semula agar semua jenis seni termasuk penulisan, teater, lukisan, nyanyian dan tarian pelbagai suku kaum di negeri ini dapat dikekalkan.

“Dengan berbuat demikian, semua masyarakat dan etnik di Sarawak dapat merasakan mereka tidak ketinggalan serta mengangkat perpaduan ke tahap yang lebih tinggi, sekali gus generasi baharu dapat mengekalkan tradisi kaum masing-masing,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA