Posted on: 24/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi negeri-negeri yang mengalami peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan mengikut ketetapan fasa baharu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan berkenaan.

Menurut KPM dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter hari ini, keputusan itu terpakai untuk negeri-negeri seperti Johor, Pahang dan Negeri Sembilan yang mengalami peralihan fasa PPN berkuat kuasa hari ini.

Pembukaan institusi pendidikan di Negeri Sembilan kekal pada 4 Okt mengikut ketetapan Fasa Tiga sebelum pengoperasian berubah mengikut ketetapan Fasa Empat bermula 18 Oktober.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara memberi kebenaran untuk pelajar Tingkatan Enam Semester Dua dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa Satu untuk hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Okt untuk kumpulan pelajar berkenaan manakala pelajar lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

Pengoperasian institusi pendidikan di Pulau Langkawi bermula 3 Oktober mengikut ketetapan Fasa Empat susulan pengumumannya sebagai kawasan gelembung pelancongan.

Menurut KPM, pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri-negeri yang tidak terlibat dengan peralihan fasa hari ini adalah kekal berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan pada 12 September.

Institusi pendidikan di bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru, serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Ketetapan berkenaan turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. 

Sumber: BERNAMA