Posted on: 24/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pihak pengurusan sekolah dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara bagi memastikan sistem pengudaraan dan kualiti udara yang baik sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan COVID-19 apabila sesi persekolahan kembali dibuka kelak.

Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kadar suhu yang dinasihatkan adalah antara 23 hingga 26 darjah Celsius sekiranya penyaman udara masih digunakan di bangunan sekolah.

“Kita nasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara dan suhu jangan sejuk sangat (jika guna), yang paling penting adalah pengudaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di sini, hari ini.

Dr Mah berkata pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah dan institusi pendidikan mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan penularan COVID-19 sebagai antara persediaan pembukaan semula sesi persekolahan.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat pelajar sekolah atau ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak menerima vaksin COVID-19, beliau berkata kementerian masih berada di peringkat awal pelaksanaan PICK Remaja untuk membuat penilaian berkenaan.

“Yang kita nampak pada keseluruhan pelajar dan ibu bapa sangat bersedia dan teruja untuk menerima vaksin. “Setahu saya tiada bantahan diterima oleh mereka yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mah berkata maklumat yang betul dan hebahan berhubung vaksinasi perlu dipergiatkan bagi menggalakkan pelajar dan ibu bapa membawa anakanak mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan ketika mengikuti pembelajaran di sekolah.

Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Rabu lepas, Kementerian Kesihatan memberi penekanan dan panduan kepada orang ramai berhubung kepentingan sistem pengudaraan dan kualiti udara dalaman yang baik bagi membendung penularan COVID-19.

Terdahulu, seramai 127 pelajar daripada 570 orang di sekolah berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada program bermula pukul 9 pagi tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Sumber: BERNAMA