Posted on: 24/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani penularan pandemik COVID-19 melibatkan aktiviti ibadah di surau dan masjid sentiasa ditambah baik melalui kaedah muzakarah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI). 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kaedah muzakarah yang disertai mufti dan pihak berkuasa agama negeri itu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua bulan bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam termasuk solat dan sebagainya.

“Jadi apa sahaja SOP baharu, kita akan sentiasa kemas kini berdasarkan situasi semasa namun tidak banyak perubahan dalam SOP sekiranya jangkitan COVID-19 masih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Inspirasi Qaseh Kami: Food Bank YaPEIM 3.0 Di Kemaman di perkarangan Stesen Teksi, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebenaran melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid dan surau di Pahang kepada semua jemaah termasuk individu yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menerusi kenyataan semalam memaklumkan SOP itu berkuat kuasa Rabu lepas, dengan bilangan jemaah mengikut keluasan kapasiti masjid atau surau dengan mengamalkan penjarakan fizikal, kecuali di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahmad Marzuk berkata langkah yang dilaksanakan di negeri Pahang itu, adalah terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.

“Kalau mengikut SOP di peringkat Wilayah Persekutuan dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, (kebenaran solat) mesti melengkapkan vaksin namun ia terpulang kepada negeri lain,” katanya. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu gangguan seksual yang dikaitkan dengan seorang pendakwah terkenal, Ahmad Marzuk berkata tiada sesiapa pun termasuk golongan agamawan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya individu tersebut terbukti melakukan kesalahan.

Bagaimanapun beliau berkata masyarakat seharusnya bertenang dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan serta tidak melakukan sebarang spekulasi.

Sumber: BERNAMA