Posted on: 24/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peniaga di sebuah pusat beli-belah popular di bandar raya ini menarik nafas lega apabila perniagaan mereka mulai rancak menerima kunjungan orang ramai pada hari pertama peralihan Johor ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Pemilik kedai makan Hj Wahid Mee Rebus, Abdul Halim Wahid, 65, berkata dia menjangkakan kehadiran pengunjung akan lebih meriah pada hari minggu susulan orang ramai yang telah lengkap vaksinasi kini boleh merentas daerah.

“Sebelum ini, orang ramai mungkin takut atau ragu-ragu untuk keluar, tetapi setelah Johor beralih ke fasa baharu kita harap pelanggan akan bertambah,” katanya yang telah berniaga kira-kira 24 tahun di pusat beli-belah itu kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi pemilik kedai kasut Lim Kang Wei, 44, dia berharap dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam Fasa Dua, ia sedikit sebanyak dapat membantu kestabilan perniagaannya yang telah terjejas sejak tiga bulan lepas.

“Namun pada masa sama juga, kita harap dapat menyambut kehadiran pengunjung dari luar negara terutama Singapura kerana sememangnya bandar Johor Bahru menjadi tempat tarikan mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai dilihat membeli-belah bersama anak-anak mereka serta menjamu selera seawal pukul 10 pagi tadi.

Seorang pengunjung, Nur Syairah Mohd Khalid, 28, berkata dia mengambil kesempatan untuk keluar bersiar-siar pagi ini membeli-belah bersama keluarga memandangkan anak-anak sudah terlalu lama berada di rumah. 

“Kalau boleh saya juga mahu bercuti bersama keluarga di kawasan berdekatan sebab anak-anak sudah tanya bila hendak berjalan-jalan.

“Alhamdulillah sudah Fasa Dua, orang ramai sudah boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan norma baharu,” katanya.

Sumber: BERNAMA