Posted on: 24/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jabatan Kerja Raya (JKR) membuka satu jalan lencongan di lokasi kejadian runtuhan jalan di Laluan Persekutuan FT185 Seksyen 43.95, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands, bermula hari ini.

Jabatan itu menerusi satu kenyataan berkata bagaimanapun laluan tersebut yang dibuka sejak pukul 8 pagi tadi hanya untuk kenderaan ringan tidak melebihi lima tan.

Katanya pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi pandu arah lencongan jalan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, JKR sedang giat melaksanakan kerja-kerja kawalan dan pembaikan cerun runtuh di kawasan berkenaan demi memastikan keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya pada masa hadapan.

Pada 18 Sept lepas, kejadian runtuhan jalan yang berlaku kira-kira 5.45 petang berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jalan Raya Simpang Pulai, melibatkan runtuhan sepanjang kira-kira 30 meter apabila hujan berterusan mengakibatkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.

Sumber: BERNAMA