Posted on: 25/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa inisiatif agenda perumahan untuk kebajikan Keluarga Malaysia antaranya pengecualian bayaran sewa untuk inisiatif perumahan bagi golongan terkesan dan penerusan moratorium bayaran sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ketika melancarkan  Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia yang dikenali  sebagai Rumah Ikram Keluarga Malaysia di sini semalam, Ismail Sabri turut mengumumkan penambahan bilangan unit di bawah projek berkenaan kepada 2,000 unit daripada 1,000 permulaannya, yang membolehkan kira-kira 10,000 isi rumah yang memerlukan mendapat manfaat daripadanya.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu menjadi teduhan kepada golongan yang kehilangan dan kekurangan pendapatan  atau kehilangan pekerjaan  sehingga tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi.

Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu, Ismail Sabri mengumumkan  bahawa semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sewa sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

“Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan melibatkan peruntukan lebih RM3 juta,” katanya.

Ismail Sabri dalam pada itu turut mengumumkan program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan diteruskan sehingga akhir 2022.

Langkah itu, kata beliau akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR, yang melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta.

“Inilah sebahagian daripada usaha kita, inisiatif kita, ikhtiar kita untuk Keluarga Malaysia yang memerlukan,” katanya.

Perdana menteri  berkata agenda perumahan akan terus menjadi fokus utama kerajaan  khususnya dalam menyediakan kediaman mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

Program kediaman mampu milik seperti PPR, Perumahan PR1MA dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) akan terus diperkasa dan ditambah baik agar rakyat mempunyai tempat untuk berteduh, katanya.

Ismail Sabri berkata KPKT akan melihat dengan lebih strategik perancangan dan pelaksanaan program perumahan agar ia tidak hanya boleh dibina dalam tempoh yang singkat malah mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia.

Golongan rentan, golongan belia dan anak muda untuk memiliki kediaman yang selesa serta berkualiti juga akan dibantu sejajar dengan agenda Liveable Malaysia atau Malaysia Yang Berdaya Huni, yang perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) serta Belanjawan 2022, katanya.

Sumber: BERNAMA