Posted on: 25/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kebanyakan pemain utama sektor pelancongan di Pulau Pinang seperti bidang perhotelan serta pengusaha tempat tarikan pelancong, sudah bersiap sedia dengan segala keperluan untuk kembali beroperasi dan menerima pelawat domestik – hanya menunggu keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk melonggarkan sekatan perjalanan merentas sempadan negeri.

Ezco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang  Yeoh Soon Hin berkata kebanyakan mereka sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap dan ketat dalam usaha mengelak penularan COVID-19 semasa menyambut kehadiran pelancong nanti.

“Saya percaya sebaik sahaja kita (Pulau Pinang) mencapai sasaran vaksinasi penduduk, kebenaran perjalanan merentas sempadan akan menyusul,” katanya dalam persidangan media di sini kelmarin.

Katanya beliau menjangka sekatan perjalanan di negeri ini  akan dilonggarkan menjelang pertengahan bulan Oktober nanti  apabila 90 peratus penduduk Pulau Pinang selesai menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Diharapkan ketika itu industri pelancongan di Pulau Pinang akan terus  berkembang dan ekonomi sektor pelancongan semakin beransur pulih daripada kesan pandemik COVID-19. Sehingga kini 76.7 peratus penduduk dewasa di Pulau Pinang telah menerima suntikan lengkap vaksin, manakala 18.2 peratus sudah menerima suntikan dos pertama.

Terdahulu Yeoh menghadiri pelancaran program perlindungan kemalangan peribadi “StaySurance” Kumpulan Shangri-La di Rasa Sayang Resort & Spa di sini.

Dengan kerjasama Kumpulan Shangri-La dan AIG Malaysia, perlindungan kemalangan peribadi StaySurance menawarkan perlindungan kemalangan peribadi kepada pelanggan staycation dengan manfaat tunai harian rawatan hospital sehingga  100 USD (RM418.20) sehari sekiranya pelanggan disahkan positif bagi jangkitan penyakit berjangkit seperti COVID-19.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Rasa Sayang Resort & Spa Suleiman Tunku Abdul Rahman berkata “StaySurance” turut memberikan perlindungan kepada lainlain penyakit berjangkit seperti Ebola, MERS, SARS, demam denggi, malaria dan Virus Zika.

Beliau berkata perlindungan kemalangan peribadi itu terpakai bagi semua tujuh hotel Shangri-La di Pulau Pinang, Kuala Lumpur and Sabah.

Sumber: BERNAMA