Posted on: 26/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Ibu bapa tidak perlu bimbang kesan sampingan vaksin  yang diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata setakat ini vaksin jenis Pfizer-BioNTech yang dberikan kepada remaja tidak mempunyai kesan sampingan yang besar.

“Jangan bimbang, risiko kerana suntikan vaksin amat rendah keberangkaliannya dan kebaikan vaksin adalah jauh lebih baik daripada terkena COVID-19 malah kes itu tidak dilaporkan di negara inI Kajian di luar negara ke atas golongan muda yang terkena radang otot jantung dan radang selaput luar jantung mendapati peratusnya adalah sangat rendah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al-Baqir (Sabar) di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus pelajar menerima suntikan sehingga November ini dan 80 peratus sebelum akhir Disember tahun ini.

Mengikut statistik, beliau berkata jumlah pelajar di negara ini adalah seramai 2.5 juta orang dan 681,853 daripadanya telah menerima suntikan dos pertama manakala 108,935 telah melengkapkan vaksinasi mereka sejak 20 September hingga semalam.

“Ini bermakna 26.9 peratus sudah menerima suntikan sejak dilancarkan sehingga semalam dan 4.3 peratus telah lengkap divaksin,” katanya.

Beliau berkata peratusan pelajar yang mendapat suntikan mengikut negeri tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 76.7 peratus dos pertama dan 6.4 peratus dos kedua, Sabah  dos pertama 65.3 peratus dan 7.2 peratus dos kedua manakala Sarawak 37.7 peratus dos pertama dan 6.9 peratus dos kedua.

Katanya Perlis telah mencapai 33.3 peratus dos pertama dan 4.6 peratus dos kedua, Pahang dengan 30.7 peratus untuk dos pertama dan 3.4 peratus telah menerima dos kedua manakala Perak dengan jumlah pelajar seramai 53,770 atau 26.5 peratus telah menerima suntikan dos pertama dan 7,633 orang atau 3.8 peratus dos kedua.

Sementara itu, Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik cadangan untuk meminta pihak MySejahtera mengaktifkan bunyi penggera secara berulang-ulang selepas lebih 30 minit mendaftar masuk bagi memberi peringatan kepada pengguna aplikasi itu untuk mendaftar keluar.

Beliau berkata cadangan itu merupakan satu pandangan yang baik kerana ramai pengguna yang terlupa berbuat demikian selepas mendaftar masuk.

Sumber: BERNAMA