Posted on: 26/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Semua pihak termasuk pempengaruh media sosial  perlu membantu memastikan penyampaian maklumat yang tepat mengenai perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara ketika peralihan negara kepada fasa endemik. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pempengaruh bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat dengan penyampaian maklumat menerusi naratif yang tepat mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan dalam PPN.  

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Segmen Optik: Pelan Pemulihan Negara menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini. Selain penggunaan media konvensional seperti televisyen dan radio, Annuar berkata medium sebaran termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook boleh digunakan bagi menyebarkan maklumat secara berkesan sekali gus mendidik masyarakat mengenai peralihan kepada fasa endemik. 

Beliau berkata sehubungan itu kementerian, agensi kerajaan dan jawatankuasa  terlibat perlu menambah baik aspek  penyampaian maklumat bagi memastikan keberkesanannya kepada orang ramai dengan mengadakan ‘engagement’ (libat urus) yang berterusan.

Pada 22 September, Annuar memaklumkan kepada Dewan Rakyat mengenai cadangan menubuhkan satu pusat kawalan  komunikasi dalam usaha menyampaikan maklumat diputuskan kerajaan kepada masyarakat dengan lebih tepat, pantas dan mudah difahami. 

Beliau berkata cadangan itu susulan cabaran-cabaran dihadapi dalam pelaksanaan program kerajaan yang didapati antara lain berpunca daripada maklumat salah dan maklumat palsu.

Sumber: BERNAMA