Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan akan memperkenalkan Agenda Transformasi Sektor Air 2040 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi, menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berkata pelaksanaan agenda tersebut melibatkan empat fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiatkan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah.

“Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan pencemaran,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan meningkatkan tadbir urus air melalui pemerkasaan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undangundang.

Selain itu, katanya kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air di samping penyediaan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW) yang dapat mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada 2050.

Sumber: BERNAMA