Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Berikut ialah inti pati ekonomi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini, dengan tema  :‘Menjana Semula Ekonomi;  Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti;  dan  Melonjakkan Kemampanan’.

-Peruntukan pembangunan dianggarkan berjumlah RM400 bilion.

– KDNK dijangka berkembang sebanyak 4.5-5.5 peratus setahun dan meningkatkan PNK per kapita kepada RM57,882 pada tahun 2025.

– Sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pembinaan dan perlombongan masing-masing dijangka berkembang 5.2 peratus, 5.7 peratus, 3.8 peratus, 4.2 peratus and 2.6 peratus setahun.

– Baki fiskal disasarkan di antara -3.5 peratus hingga -3 peratus kepada KDNK pada tahun 2025.

– Penggunaan swasta dijangka meningkat pada kadar purata 5.8 peratus setahun.

– Pelaburan swasta akan kembali pulih dan dijangka berkembang pada kadar 3.8 peratus setahun atau purata sebanyak RM258 bilion berbanding RM233 bilion semasa RMK-11.

– Pelaburan awam dijangka meningkat sebanyak 2.6 peratus setahun, dipacu oleh perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan modal syarikat awam bukan kewangan.

– Penggunaan awam dijangka berkembang sebanyak 3.7 peratus setahun. 

– Keadaan ekonomi dijangka kembali pulih dan berada pada tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran sebanyak 4.0 peratus pada tahun 2025.

– Guna tenaga dijangka meningkat dengan sederhana pada kadar 1.4 peratus setahun bagi mencapai 16.2 juta pada tahun 2025, manakala pekerjaan baharu akan bertambah sebanyak 1.1 juta.

– Eksport kasar dijangka meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 5.0 peratus disokong oleh produk yang mempunyai nilai ditambah tinggi serta pasaran yang luas.

– RCEP dijangka memberi kesan positif kepada Malaysia dengan peningkatan KDNK sebanyak 0.8 peratus pada tahun 2030.

– Import kasar dianggar berkembang pada kadar purata tahunan sebanyak 5.9 peratus selari dengan prestasi eksport yang kukuh dan peningkatan pelaburan domestik.

– Lebihan imbangan perdagangan dijangka masih tinggi, iaitu sebanyak RM191 bilion pada tahun 2025.

– Akaun semasa imbangan pembayaran disasar mengekalkan lebihan sebanyak RM44 bilion atau 2.2 peratus kepada PNK pada tahun 2025.

– Inflasi dijangka stabil pada paras yang rendah, iaitu purata sebanyak 2.7 peratus setahun berikutan prospek ekonomi yang lebih baik seiring dengan jangkaan pemulihan ekonomi.

– Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang sedang dirangka akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan meningkatkan sekuriti makanan.

– Pelan hala tuju industri gas asli akan dibangunkan untuk memanfaatkan sepenuhnya pertumbuhan permintaan dan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan gas serantau.

– Industri elektrik dan elektronik (E&E) disasar menyumbang sebanyak RM120 bilion kepada KDNK dan  menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

– Jumlah pelaburan sektor Perkhidmatan Global (GS) disasarkan mencecah RM89 bilion pada 2025.

– Industri halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus KDNK dan penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 bilion pada 2025. 

* Sembilan fokus utama RMK12:

i. Merancakkan pertumbuhan ekonomi.

ii. Memperkukuh pemangkin pertumbuhan.

iii. Meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

iv. Memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

v. Membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

vi. Memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia.

vii. Melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri kurang membangun.

viii. Mempercepat pertumbuhan hijau.

ix. Meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

* Beberapa perancangan dan sasaran digariskan dalam RMK12 yang akan dilaksana dan dicapai dalam tempoh pelaksanaan pelan itu dari 2021 hingga 2025.

Antaranya:

– Dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan aeroangkasa, elektrik dan elektronik serta penubuhan Centre of Excellence for Future Industry.

– Dana harta intelek dan pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

– Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

– Sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara.

– Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025.

– Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

– Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan.

– Penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

– Penubuhan Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) bagi menyelaras aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I).

– Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun depan.

– Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada 2023.

– Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan, dijangka siap pada 2026.

– Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung 2021.

-Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

– Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

– Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada 2025. – Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0. 

– Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

– Penggantian 148 bangunan sekolah daif dengan kos RM1.6 bilion pada 2021 dan 2022.

– Empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu akan dibina, melibatkan kos RM848 juta.

– Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dibangunkan.

– Kemudahan beberapa universiti awam antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan dinaik taraf.

– Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. 

– Job Creation Strategic Plan 2021-2023 diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

– Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun depan, bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit. 

– Satu dana wakaf di peringkat nasional akan diwujudkan bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi bumiputera.

– Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.

– Pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.

– Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11). 

– Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru akan ditambah baik bagi membolehkan mereka yang berpendapatan rendah mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan.

– Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

– Kumpulan orang kurang upaya (OKU) akan diterus diperkasa dengan pelaksanaan program Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

– Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada 2025.

– Penyediaan infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo. 

– Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada 2025.

– Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di Sabah dan Sarawak. – Pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah akan dibina manakala Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. 

– Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun depan. 

– Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap.

– Akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus menjelang 2025.

– Projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak RM310 juta dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos RM1.6 bilion.

– Model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri akan diperkenalkan semula dengan generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk standard oleh kerajaan.

– Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.

– Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji jana kuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji jana kuasa arang batu.

– Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada 2025.

– Model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMK12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.

– Sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan menjelang 2025. 

– Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan. 

– Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

– Pelan rangka tindakan ekonomi biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan. 

– Beberapa projek dengan kos sebanyak RM16 bilion akan dilaksanakan di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir bagi tempoh RMK12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

– Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMK12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.  

– Kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos RM25.8 bilion untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air.

– Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau end-to-end meningkat kepada 80 peratus pada 2025. 

– Rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dengan swasta yang lebih meluas. 

– Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.  

– Pelan Pelaksanaan Dasar RMK12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam meneraju dan melaksana semua dasar. 

Sumber: BERNAMA