Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah baik  pada tahun 2023  apabila ekonomi semakin kukuh selepas terjejas kerana penularan pandemik COVID-19 selama dua tahun berturut-turut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Penularan pandemik ini turut memberi impak kepada ekonomi global pada tahun 2020, dengan penguncupan pada kadar 3.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada tahun 2019, katanya.

“Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini. Mengimbas pencapaian dalam tempoh RMK-11, iaitu 2016 hingga 2020, keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal,” kata perdana menteri dalam ucapannya semasa membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 di parlimen hari ini.

“Pandemik itu juga telah menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan. Pada tahun 2020, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK sementara jumlah hutang statutori Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK,” tambah beliau.

Namun begitu, sejumlah lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang diperkenalkan bermula pada 27 Mac 2020 telah berjaya menstabilkan ekonomi negara, menyaksikan KDNK kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021 selepas menguncup pada tempoh empat sukuan sebelumnya, kata perdana menteri. Jumlah nilai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi itu berjumlah lebih RM530 bilion.

“Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh. Kita harus yakin seperti dalam Surah Al-Insyirah, ayat lima;

“Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,” tambah beliau. Ismail Sabri berkata dalam RMK-11, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion bagi tujuan pembangunan, merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial 26 peratus, keselamatan dan pertahanan 11 peratus dan pentadbiran am limaperatus.

Sementara itu bagi sektor ekonomi, perbelanjaan terbesar adalah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas. Daripada perbelanjaan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan  untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, ahli parlimen dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad, kata beliau.

“Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan. Oleh itu, peruntukan pembangunan kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan,” kata perdana menteri.

Sumber: BERNAMA