Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Memantapkan pendidikan dan pembangunan sosioekonomi Orang Asli antara usaha yang bakal dilaksana dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut Dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) akan ditambah baik, bagi memastikan anak-anak Orang Asli memperoleh kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Kemasukan ke Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tertiari akan dipertingkat, selain Program Jom Belajar akan diperluas lagi untuk mempertingkatkan kehadiran pelajar melalui kaedah pengajaran inovatif, bagi mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan mereka.

“Lepasan SPM dan graduan dari komuniti setempat akan digalakkan untuk membantu mengajar murid Orang Asli, sehubungan itu program khas Membawa Sekolah ke Komuniti akan diperkenalkan dengan kerjasama antara kerajaan, universiti dan pertubuhan masyarakat sivil,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, kerajaan akan merangka sebuah pelan pembangunan meliputi pendidikan dan latihan, peningkatan pendapatan, penyediaan infrastruktur asas, pembangunan tanah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan bersepadu.

Menurut dokumen itu, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti menjana pendapatan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan Orang Asli, termasuk menyediakan kemudahan pembiayaan mikro dan latihan kemahiran bagi membolehkan mereka menjadi usahawan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka.

Pada akhir tahun 2020, seramai 1,448 Orang Asli mendapat manfaat daripada Program Pembangunan Keusahawanan Orang Asli, manakala 324 usahawan telah mendapat geran untuk memulakan perniagaan dalam pelbagai bidang.

Di samping itu, kerajaan akan memperluaskan infrastruktur, perkhidmatan, dan kemudahan asas termasuk pembinaan jalan, penyediaan bekalan air terawat, bekalan elektrik dan perumahan selain penambahbaikan akses kepada telekomunikasi dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Sumber: BERNAMA