Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Usaha dan pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dijangka menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan purata tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 5.3 peratus.

Kedudukan Sabah dan Sarawak yang terletak di lokasi yang strategik, berhampiran dengan kebanyakan negara ASEAN serta China dan Jepun mewujudkan peluang ekonomi dan perdagangan yang besar kepada kedua-dua negeri berkenaan, demikian menurut dokumen RMK-12  yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini,.

Bagi memanfaatkan potensi ini, dokumen itu menyebut usaha akan dilaksana untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kejayaan langkah ini akan mengurangkan jurang sosioekonomi antara wilayah di Malaysia,” katanya.

Menurut dokumen itu, RMK-12 akan melihat bagi memperkukuhkah pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan ekosistem yang kondusif untuk mempastikan pertumbuhan progresif dan mampan.

“Untuk tujuan ini, usaha akan dilakukan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan, memperkukuhkan aktiviti berasaskan sumber, memudahkan cara perniagaan dan merancakkan pasaran PMKS bagi meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi,” jelasnya.

Katanya PMKS akan digalakkan untuk meningkatkan penjualan produk dan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi dan pendigitalan.

Dokumen itu menambah dalam menyediakan ekosistem yang kondusif sebagai prasyarat bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi,  tumpuan akan diberi untuk memanfaatkan koridor ekonomi wilayah sebagai pemangkin pertumbuhan.

Di samping itu, usaha bersepadu juga akan dilaksana untuk menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan di kawasan Kawasan Pembangunan ASEAN Timur  (BIMP-EAGA) dengan memanfaatkan kelebihan berbanding yang terdapat di kedua-dua negeri, katanya.

“Langkah akan diambil untuk memperkukuhkan strategi pembangunan wilayah bagi memastikan impak pembangunan yang lebih besar,” katanya.

Pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak juga akan dipercepat untuk merapatkan jurang di antara kawasan luar bandar dan bandar dengan langkah termasuk memperkukuh pemboleh daya pertumbuhan, mencergaskan semula aktiviti ekonomi luar bandar dan menyediakan akses kepada perniagaan dalam talian.

Dokumen itu seterusnya menyatakan dalam memastikan sumbangan bandar yang lebih besar kepada pembangunan negeri, langkah untuk mempercepat pembangunan bandar akan ditumpukan kepada meningkatkan potensi pembangunan bandar, menambah baik perkhidmatan perbandaran dan meningkatkan daya huni.

“Ini akan merangsang pembangunan yang pesat dan menyumbang kepada kesejahteraan penduduk bandar,” katanya.

Sementara itu, ia berkata pertumbuhan hijau juga akan diberi penekanan dalam merangsang pembangunan sosioekonomi yang mampan melalui perluasan pasaran hijau yang akan digalakkan dengan mempercepat pelaksanaan inisiatif hijau dan memulihara aset semula jadi.

“Inisiatif ini merupakan perubahan sistemik yang dilaksana bagi menjana peluang ekonomi baharu, di samping meminimumkan impak kerosakan kepada alam sekitar, menangani perubahan iklim dan memastikan kemampanan sumber semula jadi,” tambahnya.

Sumber: BERNAMA