Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang bermula tahun ini sehingga 2025 menggariskan beberapa strategi bagi mencergaskan semula industri pelancongan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Industri pelancongan, yang menyediakan 3.6 juta pekerjaan iaitu 23.6 peratus daripada jumlah guna tenaga pada 2019, penting kerana ia mewujudkan kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada negara.

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, strategi mencergaskan industri pelancongan itu antara lain akan menumpukan aspek keselamatan dan kebersihan yang lebih baik, mengembalikan keyakinan pelancong, menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti, meningkatkan kemampanan produk pelancongan, memperkukuh penjenamaan dan promosi, menginstitusi reformasi tadbir urus dan mempergiat pelancongan domestik.

Ketibaan pelancong asing dijangka mula pulih pada 2023 mengambil kira kesan pandemik COVID-19 kepada industri pelancongan global. 

“Oleh itu, ketibaan pelancong dijangka mencapai 24.3 juta orang dengan pendapatan berjumlah RM73 bilion pada 2025.

“Jumlah pelawat domestik dijangka meningkat pada kadar 5.5 peratus setahun dalam tempoh RMK12 dengan sasaran seramai 212 juta pelawat dan pendapatan sebanyak RM100 bilion pada 2025,” menurut dokumen itu.

Bagi mengembalikan keyakinan pelancong, usaha penjenamaan dan promosi yang mengutamakan aspek keselamatan dan kebersihan akan diberi penekanan, di samping mengadakan satu kempen untuk memupuk budaya tanggungjawab sosial.

Dalam usaha meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan, produk dan perkhidmatan ekopelancongan yang memberikan pengalaman unik di Malaysia akan dipromosi sebagai produk premium bagi menyasarkan pelancong yang berkualiti.

“Mekanisme dan pemantauan khusus akan dibangunkan di destinasi ekopelancongan seperti Kilim Geoforest park di Kedah, Taman Negeri Royal Belum di Perak, Lembah Danum di Sabah dan Taman Negara Mulu di Sarawak untuk mengekalkan keaslian dan kemampanan destinasi ini,” menurut dokumen itu.

Selain dapat menjana pendapatan dan aktiviti ekonomi, penglibatan masyarakat setempat akan dipergiat dalam menyediakan pengalaman inap desa yang unik, menghasilkan kraftangan dan menawarkan perkhidmatan pemandu pelancong.

Bagi memperkukuh penglibatan sektor swasta dalam pelancongan, model perniagaan yang lebih dinamik dan berkesan akan dibangunkan selain melaksanakan usaha mempromosi Malaysia sebagai destinasi pilihan pertama bagi penganjuran program mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan membelibelah.

Bagi memperkukuh jenama Malaysia dan strategi pemasaran, slogan ‘Malaysia Truly Asia’ akan diberi nafas baharu dengan mempamerkan destinasi dan aktiviti termasuk elemen budaya, seni dan warisan.

“Malaysia akan menerima guna pendigitalan dalam pengumpulan data dan trend pelancong bagi menambah baik perancangan, penggunaan sumber dan proses membuat keputusan,” menurut dokumen itu.

Turut diberi perhatian dalam RMK12 adalah meningkatkan keberkesanan kos dan penyampaian perkhidmatan jabatan dan agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk pejabat perwakilan di luar negara akan dirasionalisasi dan distruktur berdasarkan trend semasa.

Bagi mewujudkan permintaan dan menyokong industri pelancongan, sektor pelancongan domestik akan dipergiatkan menerusi insentif dan kempen promosi.

Platform digital akan digunakan secara agresif bagi menggalakkan pelancong tempatan meneroka pemandangan dan tempat menarik dalam negara, di samping pelancongan berasaskan komuniti yang menawarkan pengalaman inap desa masyarakat setempat.  

Sumber: BERNAMA