Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Industri aeroangkasa telah dikenal pasti sebagai satu daripada industri strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk melonjakkan negara kepada trajektori berteknologi tinggi, yang menjana pendapatan RM30 bilion pada 2025 berbanding RM11.6 bilion pada 2020.

Menurut dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, industri yang dijangka mewujudkan 30,000 pekerjaan dalam lima tahun ke hadapan itu akan ditransformasi kepada menghasilkan produk dan perkhidmatan lebih kompleks.

“Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan daya saing industri, seterusnya memperkukuh kedudukan industri tempatan dalam rantaian nilai global,” menurut dokumen itu.

Menurutnya bagi membangunkan ekosistem aeroangkasa yang mampan, Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) akan diperkasa sebagai sebuah agensi untuk memperkukuh peranannya dalam memudah cara pelaksanaan inisiatif dan pelan tindakan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.

Pemerkasaan itu juga akan mengukuhkan peranan NAICO dalam menyelaras pelaksanaan Rangka Kerja Industri Aeroangkasa yang baru diperkenalkan, yang mengandungi sasaran keseluruhan industri serta strategi dan hasil yang dihasratkan bagi setiap kluster untuk mencapai objektif MAIB 2030, katanya.

Selain itu, pusat kecemerlangan aeroangkasa juga akan ditubuhkan bagi menyediakan latihan serta perkongsian amalan terbaik dan fasiliti, terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan daya saing industri dan menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa di rantau Asia Tenggara.

Di bawah RMK-12, keupayaan fasiliti aeronautik dan astronautik akan ditambah baik dan infrastruktur sedia ada akan digunakan secara optimum, manakala kemahiran tempatan akan ditingkatkan bagi memperkukuh industri aeroangkasa.

Usaha juga akan dilaksanakan untuk mewujudkan sumber baharu pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan pemain tempatan yang terlibat dalam industri aeroangkasa. 

“Insentif dan bantuan kewangan akan ditambah baik supaya industri kekal berdaya saing dalam rantaian nilai global dan menggalakkan pertumbuhan mampan.

“Usaha ini adalah kritikal ketika pasaran dunia termasuk Malaysia, bertindak balas dan pulih daripada implikasi ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19,” menurut dokumen itu.

Dokumen RMK-12 itu turut menyatakan insentif akan dikaji semula untuk mempercepat penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan pelaburan dalam aktiviti yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi.

Sementara itu, pinjaman dan jaminan pinjaman kepada perniagaan akan diteroka untuk meningkatkan akses industri kepada kecairan bagi mengimbangi aliran tunai yang merosot disebabkan impak pandemik.

Pembangunan industri aeroangkasa akan dijajar semula untuk membangunkan keupayaan khusus melalui pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa di kawasan ekonomi terpilih.

“Pembangunan industri akan memberi tumpuan kepada empat kluster iaitu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aeroangkasa, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk untuk mewujudkan sinergi dan menggalakkan pertumbuhan pemain industri tempatan.

“Pewujudan kluster dan zon aktiviti aeroangkasa ini akan dilaksana berdasarkan kepada kekuatan dan kelebihan setiap kawasan ekonomi,” katanya.

Sumber: BERNAMA