Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Industri elektrik dan elektronik (E&E) disasar menyumbang sebanyak RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana pendapatan eksport sebanyak RM495 bilion menjelang 2025.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), pemain industri E&E digalakkan untuk menerima guna teknologi termaju dan menghasilkan produk yang lebih sofistikated, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan.

Menurut Dokumen RMK-12 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) hari ini, anjakan industri perlu dilaksana melalui peningkatan pelaburan dalam aktiviti yang bernilai tinggi seperti reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta pembuatan front-end.

“Justeru, usaha akan ditumpukan untuk memperkukuh ekosistem pembuatan, menggalakkan penerimagunaan teknologi baharu serta meningkatkan pembangunan bakat, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan D&D,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh ekosistem industri E&E bagi mencapai rantaian nilai yang lebih tinggi, ia berkata ekosistem yang komprehensif berdasarkan pendekatan yang lebih sistematik adalah penting bagi memastikan kemampanan pembangunan industri.

Dalam hal ini, katanya pelan hala tuju E&E nasional akan dirangka sebagai panduan strategik bagi pembangunan industri ini, dengan subsektor utama termasuk semikonduktor, solar fotovoltan, diod pemancar cahaya, perkhidmatan pembuatan elektronik dan perkhidmatan berkaitan pembuatan.

“Peranan organisasi yang berkaitan akan dipertingkat bagi menambahbaik penyelarasan di samping mewujudkan jalinan dan kerjasama yang kukuh dengan institusi penyelidikan serta antara sektor awam dan swasta.

“Insentif untuk industri E&E akan distruktur semula untuk meningkatkan keberkesanan. Perlaksanaan inisiatif ini akan membolehkan penyelarasan dana, sumber teknikal dan fasiliti yang disediakan oleh kerajaan,” tambahnya.

Menurut dokumen berkenaan, usaha juga akan dilaksanakan bagi membolehkan industri E&E beralih kepada aktiviti bernilai tinggi d  sepanjang rantaian bekalan melalui peningkatan penggunaan automasi dan teknologi termaju.

Sementara itu, syarikat multinasional (MNC) akan digalakkan untuk membantu meningkatkan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, yang mana perlaksanaan Lighthouse Project yang diperkenal pada 2020, akan diperluas untuk mengalakkan MNC membantu PMKS dalam menguasai pendigitalan dan globalisasi 4.0.

Dalam meningkatkan pembangunan bakat dan keupayaan, ia berkata berkata pelbagai program kelayakan mikro akan diperluas berdasarkan model Triple Helix, dengan set kemahiran tambahan, termasuk pengekodan perisian dan pemodelan analisis data akan disediakan oleh pelbagai institusi latihan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, beberapa inisiatif akan dilaksana untuk membangunkan bakat  dalam industri ini selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, termasuk penubuhan pusat pembangunan kemahiran 4IR yang diterajui oleh industri.

Insentif itu juga katanya akan disediakan kepada industri untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja dalam bidang 4IR, manakala paltform data menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan diwujudkan untuk memudahkan perancangan tenaga kerja.

“Bagi mempercepat pembangunan industri pembuatan bernilai tinggi, pekerja akan ditingkatkan kemahiran  dan dilatih semula dalam bidang reka bentuk. Pusat khusus akan dikenal pasti bagi melatih jurutera reka bentuk berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Pada tahun 2020, industri E&E telah menyumbang 6.4 peratus kepada KDNK dengan nilai ditambah sebanyak RM86.1 bilion, manakala dari 2016 hingga 2020, industri berkenaan berkembang pada kadar 5.6 peratus setahun, lebih tinggi berbanding pertumbuhan sektor pembuatan pada 3.3 peratus setahun.

“Selain itu, subsektor E&E mendominasi eksport negara dengan sumbangan sebanyak 45.6 peratus atau RM386.1 bilion pada tahun 2020. Dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak 577 projek E&E dengan pelaburan bernilai RM71.4 bilion telah diluluskan,” katanya.

Sumber: BERNAMA