Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peningkatan insiden penyakit tidak berjangkit dan keperluan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dikenal pasti antara cabaran pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut dokumen RMK12 dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dua perkara tersebut dilihat akan memberi tekanan lebih besar kepada sistem penjagaan kesihatan dalam aspek sosial.

Selain itu, perubahan demografi bermakna Malaysia perlu membuat persiapan menyeluruh dalam tempoh pelaksanaan RMK12 untuk menghadapi cabaran yang wujud berikutan peningkatan peratusan masyarakat tua menjelang 2030.

“Negara berhadapan cabaran menangani kemiskinan dan ketidaksamarataan serta keperluan meningkatkan taraf hidup B40 dan M40 dengan pendekatan yang lebih bersasar.

“Usaha untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah juga menjadi cabaran.

Walaupun kadar urbanisasi yang pesat menyediakan peluang ekonomi dan pekerjaan baharu, namun ia memberi cabaran untuk menyediakan infrastruktur serta bekalan tenaga dan bekalan air yang mencukupi,” menurut dokumen itu.

Sementara itu, kadar pemulihan ekonomi dalam tempoh lima tahun ini bergantung kepada pelaksanaan vaksinasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta keberkesanan langkah yang dilaksanakan di bawah pakej rangsangan.

Penyampaian perkhidmatan awam pula akan diperkukuh bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan.

Sumber:BERNAMA