Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Enam negeri kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu akan terus diberi keutamaan dalam agihan peruntukan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, kerajaan menggariskan tiga bidang keutamaan iaitu memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi wilayah, membangunkan bandar yang mampan dan mentransformasi kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang pembangunan dengan lebih penekanan akan diberi untuk pembangunan di enam negeri terbabit.

“Enam negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan dengan agihan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Perbelanjaan Pembangunan Asas Persekutuan. Kerjasama yang lebih baik antara agensi persekutuan dan negeri akan diwujudkan untuk memastikan program dan projek pembangunan bersasar dilaksana dengan berkesan dan cekap.

“Ini akan mempercepat penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas serta menjana lebih banyak peluang ekonomi di negeri kurang membangun dan mengurangkan jurang pembangunan,” demikian menurut dokumen itu.

Menurut dokumen itu, di bawah bidang keutamaan memanfaatkan potensi wilayah, kerajaan menyasarkan pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh 2021 hingga 2025 sebanyak 5.6 peratus bagi wilayah Utara, Tengah (4.3 peratus), Selatan (5.1 peratus), Timur (6.5 peratus), Sabah (6.4 peratus) dan Sarawak (5.3 peratus).

Bagi pendapatan penengah bulanan isi rumah antara wilayah pula, kerajaan menyasarkan pendapatan penengah bulanan isi rumah bagi wilayah Utara akan meningkat kepada RM5,560; Tengah (RM9,290); Selatan (RM7,480); Timur (RM5,210); Sabah (RM5,380) dan Sarawak (5,430) menjelang 2025.

Wilayah Utara melibatkan negeri Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Kedah; Tengah (Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan); Selatan (Johor); Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan); Sabah (Labuan, Sabah) dan Sarawak.

Menurut dokumen itu, bagi merealisasikan bidang keutamaan itu, tumpuan akan diberi untuk mempercepat pembangunan berasaskan nod pertumbuhan utama dan kawasan titik tumpuan, menarik pelaburan berkualiti, menambah baik ekosistem perniagaan dan mempertingkat kerjasama strategik.

Selain itu, penyelarasan serta meningkatkan kerjasama di bawah Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Di bawah bidang keutamaan membangun bandar yang mampan, sasaran ialah 120 bandar  mencapai status bandar mampan berdasarkan Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets) pada tahun 2025 berbanding 75 bandar pada tahun 2019. Sebanyak 14 bandar akan melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Hijau di bawah IMT-GT dan BIMP-EAGA menjelang 2025.

“Menjelang tahun 2040, sebanyak 85 peratus daripada jumlah populasi dijangka tinggal di kawasan bandar. Keutamaan akan diberi untuk menggalakkan perancangan dan tadbir urus bandar yang berkesan, mempergiat ekonomi bandar yang mampan, mengutamakan pembangunan bandar hijau dan berdaya tahan serta membangunkan masyarakat luar bandar yang mampan.

“Ini akan menggalakkan keterangkuman yang lebih baik dan meningkatkan kesejahteraan penduduk bandar. Langkah ini juga selaras dengan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) yang menyokong Agenda 2030,” demikian menurut dokumen itu.

Di bawah bidang keutamaan mentransformasikan kawasan luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan, kerajaan menyasarkan untuk membina dan menaik taraf 2,800 kilometer (km) jalan luar bandar berturap.

Dokumen itu memaklumkan bekalan elektrik akan diperluas untuk mencapai liputan 99 peratus manakala liputan bekalan air akan diperluas untuk mencapai 98 peratus daripada isi rumah luar bandar, termasuk penyediaan bekalan air alternatif dan sistem retikulasi. 

Sumber: BERNAMA