Posted on: 27/09/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Penambahbaikan infrastruktur pengangkutan untuk menyediakan mobiliti penumpang yang lancar menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam.

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, dua strategi akan dilaksana bagi mencapai tujuan  itu iaitu meningkatkan kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh dan menggalakkan perubahan tingkah laku daripada penggunaan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

Dokumen itu menyatakan antara strategi berkenaan adalah kebolehcapaian kepada pengangkutan awam secara menyeluruh akan ditambah baik dengan menyepadukan pelbagai mod pengangkutan dan menggalakkan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Inisiatif ini akan memastikan ketersambungan antara mod pengangkutan yang lebih berkesan di samping meningkatkan kecekapan mobiliti dan ketersambungan.

Ini akan mengurangkan kebegantungan kepada kenderaan persendirian, meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat,” menurut dokumen itu.

Selain itu, rangkaian rel dan jalan raya akan disepadukan bagi menyediakan ketersambungan yang lebih baik antara lapangan terbang, pelabuhan, kawasan perindustrian dan bandar; pada masa sama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan disambung dengan rangkaian rel sedia ada.

Langkah penyambungan itu akan membolehkan akses lebih baik ke lapangan terbang sedia ada dan melengkapkan rangkaian jalan raya di Pantai Timur, secara langsung meningkatkan penumpang pengangkutan awam darat, udara serta pergerakan kargo.

Sistem pengangkutan alternatif berasaskan komuniti yang menawarkan perkhidmatan yang mampu bayar juga akan diperkenalkan dan salah satu pilihan ialah sistem dial-a-ride, iaitu perkhidmatan berasaskan panggilan telefon untuk komuniti yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan konvensional.        

Perubahan tingkah laku daripada penggunaan kenderaan persedirian kepada pengangkutan awam juga akan digalakkan bagi mendorong penggunaan pengangkutan awam sebagai pilihan pertama.

“Kerjasama antara pihak berkuasa berkaitan akan dieratkan bagi memastikan penguatkuasaan yang berkesan terhadap kemasukan kenderaan persendirian ke pusat bandar. Mod pengangkutan yang bersesuaian akan dikenal pasti untuk dipadankan dengan pola pergerakan rakyat bagi menggalakkan perubahan tingkah laku,” menurut dokumen itu.

Menurut dokumen itu lagi, Blueprint (Rangka Tindakan) Mobiliti Rendah Karbon akan dilaksanakan untuk meminimumkan corak pergerakan yang tidak mampan, iaitu dalam sektor penerbangan dan antara pelan tindakan adalah membangunkan standard bahan api yang lebih bersih.

Pada masa sama, standard bahan api itu juga mematuhi Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA) oleh The International Civil Aviation Organization (ICAO).

“Bagi sektor pengangkutan darat, penggunaan kenderaan alternatif rendah karbon seperti kenderaan cekap tenaga, hibrid dan elektrik akan digalakkan. Pelaksanaan blueprint ini akan dipantau sewajarnya untuk memastikan kejayaan objektif mobiliti rendah karbon,” menurut dokumen itu.

Dokumen itu juga menyatakan penggunaan mesra alam terutama bagi pengangkutan awam serta perkhidmatan logistik dan penghantaran akan diperluas, manakala peralihan mod pengangkutan barangan daripada jalan raya kepada rel akan terus digalakkan.

Menurut dokumen itu, usaha meningkatkan mobiliti penumpang dan barangan mesra alam akan diberi keutamaan dalam perancangan bandar serta luar bandar, dengan pelan tindakan mobiliti rendah karbon akan diperkenal sebagai panduan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian inisiatif mobiliti mesra alam.

Dalam RMK11, penekanan diberi kepada pembangunan sistem pengangkutan yang bersepadu berdasarkan keperluan melalui penambahbaikan ketersambungan merentasi mod pengangkutan dan wilayah serta peningkatan kecekapan.

Dua daripada lima sasaran telah dicapai pada RMK11 iaitu penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2016 dan pelancaran Dasar Pengangkutan Negara pada 2019.

Sumber: BERNAMA